HULU LANGAT, 19 April – Suasana penuh kemeriahan menyelubungi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Siri 1 yang telah berlangsung pada petang ini bertempat di Dewan Taman Sri Nanding. Program bermula seawal jam 2.00 petang dan menyaksikan kehadiran kira-kira 500 orang penduduk yang hadir bagi meraikan lebaran dalam suasana muhibah dan kekeluargaan.
Majlis ini merupakan anjuran bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1, Persatuan Penduduk Taman Sri Nanding, JPKK Dusun Nanding serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Nanding. Turut hadir memeriahkan acara ialah Encik Afrodi bin Ali yang hadir mewakili Ahli Majlis Zon 1, selaku tetamu kehormat majlis.
Program yang diadakan secara santai ini turut menampilkan pelbagai juadah Hari Raya serta aktiviti mesra komuniti yang berjaya mengeratkan hubungan sesama penduduk, sejajar dengan semangat perpaduan masyarakat majmuk di kawasan berkenaan.
Majlis berakhir sekitar jam 5.30 petang, dan rata-rata pengunjung melahirkan rasa gembira dengan penganjuran program yang bukan sahaja menghidupkan suasana lebaran, malah memperkukuhkan lagi semangat kejiranan di kawasan Taman Sri Nanding.




