HULU LANGAT, 20 April – Tradisi meraikan Syawal diteruskan lagi dengan penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Siri 2 yang berlangsung meriah di dua lokasi berbeza iaitu di Taman Casa Lagenda dan Surau Taman Koperasi Uda, hari ini.
Majlis bermula pada jam 11.00 pagi di Surau Taman Koperasi Uda dan berakhir kira-kira jam 2.00 petang, sebelum diteruskan di Taman Casa Lagenda sehingga jam 4.00 petang. Kira-kira 500 orang penduduk hadir bagi memeriahkan sambutan yang penuh dengan semangat kekeluargaan dan kejiranan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Encik Afrodi bin Ali, yang mewakili Ahli Majlis Zon 1, selaku tetamu kehormat. Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1 dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Casa Lagenda dan Persatuan Penduduk Taman Koperasi Uda.
Program tersebut bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan antara komuniti setempat, malah menjadi medan untuk mengukuhkan perpaduan dan meraikan lebaran dalam suasana harmoni.
Majlis yang sederhana tetapi meriah ini menampilkan pelbagai hidangan tradisional Hari Raya, serta aktiviti santai yang menarik minat semua lapisan umur dalam kalangan penduduk.












