28 September, Ahad yang lalu telah berlangsung program Sukaneka Kita Malaysia Merdeka di Dewan Qaseh Qasrina, Hulu Langat bermula pada pukul 7.30 pagi. Ianya diadakan bersempena dengan sambutan hari kebangsaan negara ini.
Program ini merupakan anjuran IKRAM Hulu Langat, Wanita IKRAM Hulu Langat, IKRAM Muda Hulu Langat serta IKRAM Junior Hulu Langat, dengan kerjasama Ahli Parlimen Hulu Langat serta Majlis Perwakilan Penduduk Zon 1 MPKj
Alhamdulillah seramai 80 orang peserta dari pelbagai sekolah rendah dan menengah di sekitar Hulu Langat ini telah menyertai program ini dengan jayanya hingga ke akhirnya. Sekalung penghargaan diucapkan buat Yang Dipertua Ikram Hulu Langat Ustaz Ahmad Fathi Zainuddin, selaku perasmi program ini, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Hulu Langat, selaku Pengarah Program ini iaitu Puan Rusmiyana Binti Kamari, Ahli Parlimen Hulu Langat YB Sani Bin Hamzan serta MPP Zon 1 Hulu Langat YBHG Dato’ Haji Rosli Bin Othman serta barisan urusetia program ini.
Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang program ini ialah pertandingan pelbagai acara sukan rakyat yang mewakili pelbagai kaum seperti acara Baling Selipar, Bola Beracun, Jianzi, Berjalan di atas Tempurung, Tarik Upih serta Pecah Periuk Buta. Pertandingan Tarik Tali juga turut diadakan bagi kaum bapa serta urusetia lelaki yang menjadi penutup bagi pelbagai acara yang diadakan.
Alhamdulillah, program berakhir dengan jayanya pada pukul 12.30 tengahari dengan pemberian hadiah kepada para pemenang serta cenderahati kepada para peserta serta para jemputan khas program. Sijil penyertaan turut disampaikan kepada para peserta yang berjaya mengikuti program ini hingga ke akhirnya. Sebelum bersurai pek-pek makanan tengahari diedarkan kepada semua hadirin untuk dibawa pulang.








